Sunday, November 1, 2009

Tidurlah bersama kesyukuran, Jangan tidur bersama kesedihan.

Dua orang sahabat karib pergi mengembara melalui sebuah padang pasir yang terbentang luas. Di tengah-tengah perjalanan itu berlaku sedikit perbezaan pendapat yang membawa kepada pertengkaran. Akibat tidak dapat mengawal perasaan dan memuncaknya kemarahan, seorang telah memukul sahabatnya.

Dengan penuh rasa hiba, sahabat yang dipukul mengambil ranting kayu dan menulis di atas pasir:

"Hari ini sahabat baikku telah memukulku."

Mereka kemudiannnya meneruskan perjalanan bersama-sama. Setelah lama berjalan, mereka sampai di sebuah lembah subur dengan tasik yang dingin. Tanpa berlengah, sahabat yang kena pukul tadi terjun ke dalam tasik tersebutuntuk menyejukkan tubuhnya. Tiba-tiba ia gagal mengawal diri dan mula tenggelam ke dalam dasar tasik.

Sahabatnya terjun dan berjaya menyelamatkannya. Setelah naik ke tepi tasik tersebut, ia mengucapkan terima kasih dan memahat pada seketul batu tulisan:

"Hari ini sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku."

Sahabatnya bertanya, "Tadi sewaktu aku memukulmu, engkau menulis di atas pasir dan sekarang engkau memahat di atas batu?"

Jawab sahabat tersebut, "Aku menulis di atas pasir kerana ia akan hilang ditiup angin, aku memahat di atas batu supaya aku mengingatinya sehingga bila-bila..."

Begitulah dengan kehidupan ini, ada perkara yang menyedihkan , kesakitan yang ditanggung, keperitan dan kegagalan dalam setiap penderitaan, tulislah di atas pasir, biarlah ia cuma singgah sebentar dalam ingatan agar kita segera boleh melupakannya. Namun sebaiknya, apabila kita mengecap nikmat daripada Allah atau menerima kebaikkan daripada orang lain maka pahatlah ia dalam hati agar kita terus kekal mengingatinya sampai bila-bila.

Rahsia untuk mendapat ketenteraman dan kedamaian hakiki: Lupakan dan maafkan segala kesalahan orang lain kepada kita sebelum kita tidur dan pejamkanlah mata untuk merasai nikmat dan kesyukuran yang kita kecapi.

Kebencian dan dendam yang kita bawa sehingga ke dalam tidur menjadi seperti racun yang direngguk, bisanya menyelinap ke seluruh tubuh dan kemudian membunuh kebahagian dan kedamaian diri.

Justeru itu, tidurlah bersama kesyukuran, jangan tidur bersama kesedihan.


Petikan buku: U-Turn Ke Jalan Lurus (Zul Ramli M. Razali)

No comments:

Post a Comment